JENJARUM - “Saya tak sangka niat untuk simpan gaji bulan lalu sebanyak RM800 di dalam bilik tidur hilang sekelip mata bila rumah sewa saya musnah dalam kebakaran semalam,”.

Demikian luahan salah seorang daripada mangsa kebakaran yang melibatkan tiga rumah, di Pekan Jenjarom, semalam.

Mangsa, P Muriamah, 41, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja dan hanya mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada saudaranya.

Menurutnya, suami dan anak bongsunya yang berusia sembilan tahun berada di rumah namun sempat melarikan diri ketika api mula marak bermula dari rumah jirannya.

“Saya sewa rumah papan ini dah lama, sewa pun RM350 sebulan.

“Mana saya ada tempat tinggal lain, kena fikir nak tumpang rumah keluarga lain pula,” katanya yang sudah membuat persiapan perayaan Deepavali.

Dia berkata, suaminya menghidap penyakit sawan dan tidak boleh bekerja dan dialah yang terpaksa menanggung lima anaknya yang masih bersekolah.

Seorang lagi mangsa, M Mehala, 38, berkata, dia mendapat berita daripada rakannya dan terus bergegas pulang ke rumah.

“Sampai saja di rumah api sudah marak dan ketiga-tiga rumah papan di kawasan itu dah musnah.

“Mujur masa kejadian anak semua pergi sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Selangor Selatan, Azmi Sadon berkata, beliau menerima laporan kebakaran melibatkan tiga rumah papan kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, ketika tiba di lokasi, kebakaran sudah marak dan mujur anggotanya berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Selain bantuan jentera tangki air, bantuan empat jentera bomba dari Balai Bomba Banting, KLIA, Andalas dan Pelabuhan Klang turut bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada di lokasi bagi menghulurkan bantuan.