Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Dua 'raja dadah' ditahan



NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan serbuk dadah yang terdapat dalam bungkusan makan bijirin pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah di Bukit Aman, semalam. - UTUSAN/ Norazlin Arlina Abdul Rahim
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Selepas kira-kira setahun keluar masuk ke negara ini bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah di Asia Tenggara, dua lelaki warga Nigeria yang merupakan 'raja dadah' di rantau tersebut akhirnya berjaya diberkas polis di sebuah kondominium mewah di Bangsar di sini, kelmarin.
Dalam operasi bermula pukul 1.30 petang itu, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Bukit Aman turut menahan sembilan individu lain terdiri daripada tujuh lelaki warga Nigeria dan masing-masing seorang wanita warga tempatan serta warga Tanzania yang dipercayai ahli sindiket terbabit.
Kesemua mereka ditahan di Jalan Klang Lama, Bukit Pantai, Cheras dan Seri Kembangan, Selangor.
Hasil penahanan itu, pasukan terbabit turut merampas 30.3 kilogram syabu bermutu tinggi dianggarkan bernilai RM3 juta yang disembunyikan dalam peket makanan bijirin segera di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini, yang merupakan milik sindiket tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, majoriti suspek terbabit memiliki visa pelajar bagi memasuki dan menetap di negara ini.
"Kesemua tahanan tersebut berumur antara 24 hingga 54 tahun dan mereka kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, 'raja dadah' terbabit dipercayai membawa masuk bekalan dadah dari beberapa negara seperti Nigeria, Afrika Selatan dan China sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan serta negara jiran.
"Beberapa siri rampasan dadah di syarikat kurier pada September lalu juga merupakan dari sindiket sama," ujarnya.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan mereka ialah dengan menggunakan khidmat kargo udara, melalui penghantaran pos serta merekrut keldai dadah.
"Trend terbaharu sindiket warga Nigeria ini ialah menyasarkan wanita tempatan khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk dijadikan keldai dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141014/je_01/Dua-raja-dadah-ditahan#ixzz3G4WXVrgx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment