KUALA LUMPUR - Denda berjumlah RM100,000 dikenakan kepada dua pihak bertanggungjawab terhadap dua projek pembinaan yang menyebabkan berlaku banjir kilat di ibu negara kelmarin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memberikan notis amaran berkuat kuasa tujuh hari agar pihak terbabit melaksanakan tindakan sewajarnya di tapak binaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, dan jika gagal, arahan henti kerja akan dikeluarkan.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, tindakan dikenakan terhadap konsultan Projek Warisan Merdeka di Jalan Sultan iaitu Perunding Arup berikutan kegagalan menyelenggara sistem perangkap kelodak.

Menurutnya, ia menyebabkan berlaku banjir lumpur di Jalan Hang Jebat, dan melimpah ke Jalan Sultan.

“Denda RM50,000 dikenakan terhadap perunding berkenaan kerana gagal mengawasi tapak,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi projek di Dutamas melibatkan kontraktor Eaewoo yang turut dikenakan denda RM50,000 kerana gagal menyelenggara sistem saliran menyebabkan berlaku banjir di Jalan Dutamas 2, petang kelmarin.

Kedua-dua tindakan dikenakan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Dalam pada itu, insiden kenderaan di tempat letak kereta Jalan Kia Peng yang ditenggelami air, kelmarin dikenal pasti berikutan keadaan muka bumi kawasan yang rendah.

Taburan hujan yang tinggi juga menjadi punca saluran longkang tidak mampu menampung aliran air menyebabkan berlaku takungan di kawasan tersebut.

Semalam Sinar Harian melaporkan kejadian hujan lebat selama dua jam mengakibatkan banjir kilat di ibu negara yang mengakibatkan beberapa kawasan ‘lumpuh’.