PATTANI - THAILAND. Keadaan tenang dan aman di selatan Thailand untuk beberapa ketika selepas tersebarnya berita mengenai rancangan mengadakan rundingan damai, kini kembali bergolak.

Terbaharu seorang penolong ketua polis bahagian pencegahan merangkap ketua polis trafik daerah Nongchik, Pattani maut dalam satu letupan bom pada pukul 7.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pattani, Nongchik Pol. Col. Manit Yimyeam berkata kejadian berlaku di depan sebuah sekolah Taladnad Bankhao, mukim Tokjong, Nongchik.

Mangsa dikenali sebagai Inspektor Sanit Suktae, 43, yang terkena serpihan bom di bahagian kepada dan tubuhnya cedera parah, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mangsa diberi rawatan kecemasan di hospital Nongchik kemudian dipindah ke hospital Pattani, bagaimanapun dengan lukanya yang teruk dia meninggal dunia di hospital Pattani, jelas beliau.

Ketika kejadian mangsa bertugas bersama dengan dua orang polis di hadapan sebuah sekolah dan bom buatan sendiri seberat 15 kg yang ditanam di tepi jalan diaktifkan menggunakan alat walkie-talkie.

Sementara itu, pada pukul 10.50 malam tadi, seorang awam ditembak mati di hadapan rumahnya di Kg Pado, Yarang, Pattani.

Polis sedang siasat kejadian tersebut. Mangsa Adul Awae, 39, ditembak dengan pistol di kepalanya. - Bernama