Kedua-dua tertuduh dibawa keluar sebaik hukuman ke atas mereka dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Temerloh semalam.
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar sebaik hukuman ke atas mereka dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Temerloh semalam.
TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang bakal mahasiswa universiti tempatan dan seorang jurujual kereta atas kesalahan mengedar amphetamine sebarat 28 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tengku Hisyam Nek Jaafar, 30, dan Mohamad Abdul Salam Mohamad Zailani 22,
selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakiman ringkas semalam, Ab Karim menyatakan bahawa kesukaran untuk menilai kebenaran hujah yang diberikan pihak pembelaan.

Menurutnya, keterangan pembelaan adalah direka semata-mata dan mahkamah lebih meyakini keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Dalam kes ini hanya ada satu hukuman, Tengku Hisyam, Mohamad Abdul Salam kamu akan dihukum, dibawa dan ditahan secara sah dan akan digantung sampai mati, pelaksanaan hukuman akan ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa pada 19 Julai 2012 jam lebih kurang 6.45 petang di dalam kereta jenis Proton Savvy di tempat letak kereta hentian Rehat dan Rawat Temerloh didapati mengedar dadah berbahaya jenis amphetamine berat kasar 216 gram tanpa mempunyai kebenaran yang sah mengikut undang-undang.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Tengku Hisyam diwakili Ghazali Ismail & Co manakala Mohamad Abdul Salam diwakili  Nizam & Rofi.