Search This Blog

Saturday, October 18, 2014

Dua bersaudara maut, 3 parah


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2014

 Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan Kampung Selindang, Padang
Tengku.
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan Kampung Selindang, Padang
Tengku.

KUALA LIPIS - “Sebelum kejadian berkenaan berlaku, dua orang anak saudara bersungguh-sungguh untuk mengikut abang ke Kuala Lipis untuk mengambil anak saudara, namun dia melarang kerana hendak cepat.

Demikian kata Abdul Malik Abdullah, 30, adik kepada Allahyarham Zahari Abdullah, 35, yang maut dalam kejadian kemalangan di Kampung Selindang, Padang Tengku di sini, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Turut maut dalam kejadian terbabit anak saudara mereka, Nur Ain Syuhaidah Zainuddin, 15. Seorang lagi mangsa, Nurul Ain Atiqah Muhamad Zaman, 15, dalam keadaan parah dan mendapat rawatan di Hospital Lipis.

Abdul Malik berkata, arwah Zahari menaiki kereta Honda menuju ke Kuala Lipis untuk mengambil Nur Ain Syuhaidah serta Nurul Ain Atiqah yang bersekolah di Sekolah Menengah Seri Lipis.

Menurutnya, sebelum itu arwah Zahari sempat berpesan kepada dua orang anak saudara agar menjaga rumah dan motosikal miliknya.

“Arwah abang bekerja di kilang papan Kechau Tui dan belum berumahtangga.

“Saya tidak menyangka akan kehilangan dua orang ahli keluarga sekali gus tambahan pula Nur Ain baru selesai menduduki peperiksaan PT3 pada Rabu lepas,” katanya.

Pesan jual telefon bimbit

Adik kepada Nur Ain, Nur Durrani Bulqini Zainuddin, 14, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kakaknya pada hujung minggu lalu.

Menurutnya, tiada perubahan ketara yang ditunjukkan oleh arwah kakaknya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

“Arwah kakak sempat berpesan kepada rakannya andai dia tiada nanti minta dijual telefon bimbit miliknya.

“Arwah kakak seorang yang bertanggungjawab malah sering menasihati saya serta adik-adik yang lain supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Libatkan dua kenderaan

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berkenaan berlaku di kilometer 19 jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Selindang membabitkan dua kenderaan jenis Honda Civic dan pacuan empat roda Nissan Frontier.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic yang dipandu Zahari bersama dua penumpang, Nur Ain Syuhaidah dan Nurul Ain Atiqah datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Kampung Pagar Sasak.

“Sampai di tempat kejadian kereta yang dipandu Zahari gagal dikawal sebelum bertembung dengan pacuan empat roda dipandu oleh Abllah Hamat, 60, bersama dua penumpang yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, Zahari dan Nur Ain Syuhaidah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman,” katanya.

Abdul Razak berkata, Nurul Ain Atiqah, Abllah dan seorang lagi penumpang hadapan pacuan empat roda, Semah Chik, 54, mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang pacuan empat roda terbabit, Faridah Daud, 44, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Mangsa yang maut telah dibawa ke rumah mayat Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta tampil di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment