AYER KEROH - Dua sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam atas pertuduhan pecah amanah wang pelanggan kepada sebuah syarikat keselamatan berjumlah RM105,676.40.

Tertuduh, Jamal Supangat, 51 dan Muhamad Latif Othman, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Ahmad Sazali Omar terhadap empat pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua dan ketiga tertuduh didakwa melakukan pecah amanah wang kutipan jualan daripada Syarikat MBO Melaka Mall berjumlah RM67,676.40.

Kedua-dua pegawai keselamatan yang diamanahkan terhadap wang kutipan tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat SRT-Eon Security Services Sdn Bhd pada 17, 21 dan 24 Jun 2013.

Bagi pertuduhan keempat, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan sama terhadap wang kutipan jualan Syarikat Lotus Group, Melaka Sentral bernilai RM38,000 di tempat sama pada 23 Jun 2013.

Dalam pada itu, Muhamad Latif turut didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan memperdaya bekas rakan sekerja menyerahkan wang bagi pembelian barang lelongan Kastam tidak wujud.

Tertuduh mengaku tidak bersalah memperdaya dengan menawarkan komputer riba dan telefon bimbit iaitu barang lelongan Kastam tidak wujud hingga mendorong Rosdiadi Ramli, 33, menyerahkan wang berjumlah RM2,800.