SEREMBAN – Seorang pemandu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata tahun lalu.

Tertuduh, Soo Mun Seong, 39, yang memakai baju lokap kelihatan tenang selepas keputusan itu dibuat oleh Hakim, Kamarudin Kamsun.

Hukuman penjara tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 Januari lalu.

Kamarudin berkata, keputusan itu diharap dapat menginsafkan tertuduh dan tidak diulangi.

“Memandangkan kamu beri kerjasama baik dengan polis dan mengaku bersalah secara konsisten, dapat menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama dengan tiga suspek yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan parang terhadap seorang mangsa pada 30 Disember 2013, jam lebih kurang 7.30 pagi di sebuah premis di Okland Commercial Square, di sini.

Dalam kejadian itu, dia melarikan harta milik mangsa iaitu lesen memandu, wang tunai lebih RM30,000, pasport, seutas jam tangan jenama Rolex dan sebuah motokar jenis Marcedes Benz.