Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Dipenjara 6 bulan ugut bunuh ibu, cedera adik


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Seorang penganggur menerima padah apabila dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mengugut untuk membunuh ibu dan memukul adik perempuannya dengan sebatang dawai besi kerana tidak memberikannya wang, Isnin lalu.
Majistret Saifulakmal Said memutuskan Chan Kean Kok, 26, dihukum penjara dua bulan atas kesalahan mengugut ibunya dan empat bulan kerana mencederakan adik perempuannya.
Kedua-dua hukuman diperintah dilaksanakan berasingan bermula dari hari kejadian.
Terdahulu, tertuduh yang dilihat bersahaja apabila keputusan dibuat, pantas menjawab 'tiada rayuan' apabila mahkamah bertanya tentang rayuan untuk mengurangkan hukuman.
Dia juga segera mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan walaupun jurubahasa belum habis membaca pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan, Kean Kok didakwa mengugut mahu membunuh ibunya, V. Mangaiarkarasi, 54, di sebuah rumah di No.284 Jalan Jambu Berasa, Jinjang Selatan di sini, pada pukul 1 petang, 29 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencederakan adiknya, Chan Mei Mei, 23, menggunakan sebatang dawai besi di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141003/ma_03/Dipenjara-6-bulan-ugut-bunuh-ibu-cedera-adik#ixzz3F2L36MUX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment