Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Dicekup ketika pandu kereta curi


Oleh Nur Saliawati Salberi
Shah Alam: Seorang lelaki yang memandu kenderaan curi berjaya ditahan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah berhampiran kawasan perumahan di Seksyen 24 di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek yang berusia 20-an pada mulanya enggan memberhentikan Perodua Kelisa yang dipandu, sebaliknya cuba memecut ketika diminta anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) untuk berhenti bagi pemeriksaan lanjut di Seksyen 25 di sini.

Sumber polis berkata, anggota polis meminta suspek memberhentikan kereta selepas lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di sebuah bengkel, namun suspek enggan berbuat demikian dan terus memecut kenderaannya ke arah kawasan perumahan di Seksyen 24.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan dipandu suspek itu ialah kenderaan curi dengan nombor pendaftarannya juga didapati palsu.

“Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran asal Perodua Kelisa itu ialah BJW 1727 yang dilaporkan hilang di Balai Polis Sungai Way.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati dia turut memiliki tatu di belakang badan selain mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment