Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Dera anak: Suami isteri tak mengaku salah


WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Oktober 2014


AYER KEROH - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun enam bulan, 29 September lalu.

Tertuduh, Abdul Mutalib Sivakumar Abdullah, 37, dan isterinya Nurul Najwa Abdullah, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Abdul Mutalib sebagai bapa dan Nurul Najwa sebagai ibu tiri kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun enam bulan didakwa menganiayai mangsa dengan mengakibatkan kecederaan fizikal di seluruh badan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh masing-masing kira-kira jam 7.15 malam dan 8.30 malam di sebuah rumah di Batu 7 1/2 Paya Rumput pada 29 September 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang berhadapan pertuduhan mendera anak sendiri atau anak tiri.

Bagaimanapun, kedua-duanya merayu supaya diberikan jaminan dengan jumlah jaminan yang rendah kerana hanya Abdul Mutalib yang bekerja menampung keluarga termasuk seorang anak mereka berusia lebih satu tahun.

Majistret, Mohd Firdaus Saleh kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta turut menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

No comments:

Post a Comment