Search This Blog

Friday, October 24, 2014

Datuk bandar dalang pembunuhan



Reuters - Sekumpulan wanita menyertai satu tunjuk perasaan di bandar Iquala di negeri Guerrero, Mexico kelmarin bagi membantah pembunuhan dan kehilangan 43 pelatih guru di bandar itu.


BANDAR RAYA MEXICO – Seorang pegawai pendakwa raya persekutuan kelmarin mendedahkan bahawa siri serangan terhadap guru pelatih yang menyebabkan enam orang maut dan 43 lagi hilang didalangi oleh Datuk Bandar Iguala serta isterinya.
Pendakwa Raya tersebut, Jesus Murillo berkata, datuk bandar terbabit, Jose Luis Abarca mengarahkan serangan terhadap pelatih berkenaan bagi menghalang mereka daripada mengganggu satu majlis melibatkan isterinya, De los Angeles Pineda yang dijadual menyampaikan satu ucapan.
Pihak berkuasa sebelum ini berjaya membongkarkan datuk bandar tersebut terlibat melindungi kartel dadah dan menerima rasuah antara AS$148,000 (RM484,123) hingga AS$222,000 (RM726,184) sebulan daripada seorang ketua pengedar dadah.
Aktiviti tersebut terbongkar selepas seorang ketua kartel dadah, Sidronio Casarrubias ditahan pihak berkuasa persekutuan pada Jumaat lalu.
Pineda yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan dua ketua kartel dadah didakwa bersubahat dengan suaminya yang dipecat pada 17 Oktober lalu mengagihkan wang berkenaan kepada pegawai kerajaan termasuk pegawai polis.
Kata Murillo, Abarca mengarahkan polis bandar itu menyerang empat buah bas yang membawa kumpulan pelatih daripada sebuah institusi perguruan sebelum menculik mereka.
Anggota polis itu yang bekerjasama dengan sepasukan anggota polis dari bandar Cocula kemudiannya membawa pelatih berkenaan ke sebuah bukit yang dikuasai oleh sebuah lagi kumpulan kartel dadah untuk dibunuh.
Menurutnya, sejumlah 30 mayat yang dibakar dijumpai di sembilan buah kubur besar di bukit berkenaan tetapi ujian DNA bagi mengenal pasti semua mangsa masih belum diperoleh.
Kehilangan semua pelatih berkenaan mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara yang mendesak pihak berkuasa persekutuan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan tersebut. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3H0bJ8xff 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment