Search This Blog

Saturday, October 11, 2014

Dadah RM5.2 juta dirampas


Noor Rashid Ibrahim (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas ketika pihak polis mematahkan cubaan menyeludup 9.1 kilogram syabu di KLIA dan serbuan ke atas makmal dadah di Jalan Kuchai Lama pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Polis mematahkan cubaan tiga lelaki warga asing untuk menyeludup 9.1 kilogram syabu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 1 Oktober dan kelmarin.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut membongkar sebuah makmal pemprosesan ekstasi serta merampas 35,000 biji pil dan cecair dadah berkenaan di Jalan Kuchai Maju, pada 3 Oktober lalu.
Kesemua syabu dan esktasi yang dirampas itu bernilai RM5.2 juta.
Penahanan pertama melibatkan seorang lelaki Afrika yang membawa bersamanya sebuah bagasi di KLIA pada 1 Oktober lalu.
Hasil pemeriksaan di ruang bawah bagasi itu yang diubah suai, menjumpai dua kotak makanan kesihatan yang mengandungi 5.2 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM988,000.
Pada 8 Oktober lalu, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki warga Iran yang membawa 3.9 kilogram syabu, bernilai RM741,000 di dalam bagasi pakaian mereka.
Dalam kejayaan lain, polis turut membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan pil ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium yang tidak berpenghuni di Jalan Kuchai Maju, pada 3 Oktober lalu.
Sebanyak 35 bungkusan plastik mengandungi 35,000 biji pil dan cecair ekstasi dianggarkan bernilai RM3.5 juta yang sudah siap untuk dipasarkan dirampas.
Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 48 dan 49 tahun yang dipercayai suspek dalam kegiatan berkenaan.
Kesemua suspek direman tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang banyak membantu menyalurkan maklumat sehingga berjaya mengesan kegiatan memproses dan penyeludupan dadah di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141011/je_02/Dadah-RM52-juta-dirampas#ixzz3FmlJpPJx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment