Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Dadah: Masa depan kontraktor muda musnah


BERA 13 Okt. - Seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan akibat penyalahgunaan dan pengedaran dadah di sini, Jumaat lalu, mempunyai kerjaya yang baik sebagai seorang kontraktor muda berjaya.
Namun akibat terjebak dalam kegiatan dadah, dia bertindak 'mengalibabakan' lesen kontraktor binaan kelas F dimilikinya sehingga kerjayanya itu akhirnya musnah.
Malah, kegiatannya itu turut menyebabkan rumahtangga yang dibinanya sejak tiga tahun lalu berkecai dan dia berpisah dengan isterinya yang kini tinggal bersama anaknya berusia dua tahun.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, lelaki yang berasal dari Kuala Bera itu ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera selepas pihaknya melakukan intipan selama kira-kira dua bulan.
Katanya, dalam serbuan yang diketuai Inspektor Syahril Nizam Jamil pada pukul 1.15 petang itu, lelaki berkenaan dipercayai berada dalam pengaruh dadah dan sedang menonton video lucah.
"Dalam serbuan itu kita telah menjumpai heroin seberat 938.4 gram, syabu (64.53gram), ketamin (1.34gram) dan pil Eramin 5 sebanyak 54 biji dengan nilai keseluruhan RM44,874.50.
"Pihak polis juga turut merampas peralatan yang digunakan untuk pembungkusan dadah dan wang tunai berjumlah RM13,800 serta turut merampas sebuah kereta dan motosikal milik suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini hari ini.
Tambahnya, polis turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Jerantut pada Julai lalu di rumah suspek.
Menurutnya, suspek yang mempunyai dua kes lampau berkaitan dadah dan jenayah direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek yang positif dadah jenis morfin dipercayai menjalankan pengedaran dadah di sekitar daerah Bera sejak setahun lalu.
"Pada masa ini kita masih giat melakukan siasatan termasuk mengesan suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141014/je_05/Dadah-Masa-depan-kontraktor-muda-musnah#ixzz3G4XVd8tU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment