Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

Cuma 5 hari lepas rindu

Maran: “Arwah hanya sempat lima hari melepaskan rindu kepada ibu bapanya yang baru pulang dari menunaikan haji di Makkah sebelum terbabit kemalangan,” kata Mohd Rofaie Hamdan, 42, bapa saudara kepada Nur Qistina Aleya Ahmad Zamani, 6, yang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Elysion dipandu bapanya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 143.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan, berhampiran susur keluar Tol Chenor, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, MPV dipandu bapa Nur Qistina, Ahmad Zamani Yusop, 39, dalam perjalanan dari Taman Damai Court, Temerloh, ke rumah mereka di Taman Mahkota Putera, Kuantan sebelum terbabit kemalangan.
Turut berada di dalam MPV itu, isteri Zamani, Nurhanum Mohd Hamdan, 39, serta empat anak pasangan terbabit termasuk Nur Qistina dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Nur Qistina meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas tercampak keluar ke longkang di tengah jalan.
Pembantu rumah itu pula parah di kepala manakala seorang lagi anak pasangan terbabit, Ahmad Aqil Haziq Ahmad Zamani, 9, patah tangan kanan manakala penumpang lain dan pemandu treler hanya cedera.
Mohd Rofaie berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan Nurhanum sebelum dia bersama ahli keluarga yang lain bergegas ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
“Luluh hati saya apabila mengetahui Nur Qistina maut dalam kemalangan kerana sebelum itu kami sempat makan tengah hari bersama dan mereka pulang ke Kuantan, kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, MPV dipandu Ahmad Zamani gagal mengelak treler di depannya.
“Ketika tiba di tempat kejadian, Zamani yang memandu di lorong paling kanan gagal mengelak treler dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang berada di depannya sebelum melanggar belakang kenderaan itu.
“Akibat rempuhan itu, kenderaan berkenaan berpusing tiga kali menyebabkan Nur Qistina yang berada di tempat duduk belakang pemandu tercampak keluar ke longkang di tengah jalan manakala pembantu rumah terhumban ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Sulaiman berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera mengubungi pihak berkuasa sebelum anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan ambulans tiba untuk tindakan susulan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:09 AM


KEADAAN kereta yang dinaiki enam beranak hancur selepas melanggar belakang treler.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4181#sthash.1jvhWmfI.dpuf

No comments:

Post a Comment