KUALA TERENGGANU - Lain yang dicari, lain pula yang dijumpai. Itulah hasil sepasukan polis yang bukan sahaja berjaya menemui pil kuda, tetapi turut menemui dua laras senapang angin dalam satu serbuan di Kampung Raja, Besut, Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.45 malam itu, polis merampas dua laras senapang angin dan 5 gram pil kuda, selain turut menahan seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai menjual bahan terlarang itu secara kecil-kecilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Fajarudin Agos berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hasil maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah.

“Sebaik memperkenalkan diri, polis segera menjalankan pemeriksaan di dalam rumah sebelum menemui satu bungkusan yang mengandungi dua peket plastik mengandungi pil kuda.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sebuah beg yang turut mengandungi dadah jenis sama disimpan di dalam bilik.

"Lebih mengejutkan, kita turut menemui dua laras senapang angin disembunyikan di dalam satu bungkusan di dalam bilik sama,” katanya.

Fajarudin berkata, suspek yang turut positif dadah jenis methamphetamine kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Dalam perkembangan sama, polis turut merampas dadah disyaki heroin seberat 110 gram dalam satu serbuan di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, pada Selasa lalu.

Menurut Fajarudin, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota BSJN IPD Kemaman kira-kira jam 2.30 petang hasil maklumat awam dan risikan.

“Pemeriksaan di dalam rumah tidak menjumpai sebarang barangan salah sebelum polis menemui satu peket plastik di dalam poket seluar dipakainya.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah disyaki heroin seberat 110 gram," katanya.

Beliau berkata, suspek turut positif dadah jenis methamphetamine dan dia kini direman untuk siasatan lanjut.