Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Bunuh: Pengawal keselamatan, teman wanita didakwa



POLIS mengiringi R. Saravanan Kumar yang menghadapi pertuduhan membunuh anak teman wanitanya di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din
BUKIT MERTAJAM 13 Okt. - Seorang pengawal keselamatan dan teman wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak wanita itu September lalu.
R. Saravanan Kumar, 24, dan T. Gayathry, 30, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengikut pertuduhan, Saravanan Kumar yang berasal dari Klang, Selangor dan Gayathry dari Kulim, Kedah secara bersama didakwa telah membunuh S. Kaviarasan, 5, antara pukul 8 pagi, 20 September dan pukul 11.25 pagi, 29 September lalu di tepi jalan, Ladang Permatang Sera, Bukit Tengah di sini.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sin mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Musyiri tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita warga Nepal berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan atas pertuduhan dengan sengaja membunuh janin yang dikandungnya pada 9 Oktober lalu.
Thapa Nirmala, 24, didakwa melakukan perbuatan itu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kira-kira pukul 3 petang di Poliklinik Ng di Jalan Ciku dekat sini.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dicatatkan kerana dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah menetapkan 12 November ini bagi sebutan semula sementara mendapatkan khidmat jurubahasa Nepal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141014/je_03/Bunuh-Pengawal-keselamatan-teman-wanita-didakwa#ixzz3G4XxySvs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment