Keadaan bumbung rumah Mohd Zul yang diterbangkan ribut di Felda Chempelak.
Keadaan bumbung rumah Mohd Zul yang diterbangkan ribut di Felda Chempelak.
LABIS - Seorang suri rumah di Kawasan Perumahan Generasi Kedua Felda Chempelak, dekat sini, berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut jam 3 petang, kelmarin.

Norazah Puniran, 34, berkata, ketika kejadian, hanya dia bersama dua anaknya yang berusia lima dan sembilan tahun berada di rumah kerana suaminya, Mohd Zul Hassan, 37, bekerja di Segamat, manakala seorang lagi anak mereka berusia 11 tahun bersekolah.

“Ketika itu, hujan renyai dan saya berada di dapur untuk memasak dan menyediakan minuman petang sementara dua anak saya sedang bermain di ruang tamu.

“Ketika melihat ke luar tingkap, saya ternampak pokok di belakang rumah saya seperti mahu menyembah bumi ditiup angin kencang yang menuju ke arah rumah saya. Saya cemas dan berlari mendapatkan anak di ruang tamu sebelum berlindung di dalam bilik,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.  

Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, hujan lebat dan dia mendengar bunyi kuat seperti kayu patah pada bumbung rumahnya sebelum beberapa bahagian rumahnya mula dimasuki air.

Norazah berkata, dia yang panik dan ketakutan ketika itu hanya terfikir tentang keselamatan anaknya selain cuba menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik yang terkena air hujan.

Sementara itu, Mohd Zul berkata, dia sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah keluarganya, di sini, sementara kerja membaiki bumbung rumahnya siap dan bersyukur kerana anak serta isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, akibat kejadian tersebut, 10 rumah penduduk di kawasan berkenaan mengalami kerosakan dan dianggarkan kerugian RM8,000 kerana kebanyakan perabot serta peralatan elektrik rosak dibasahi air dan kos membaiki bumbung juga pendawaian elektrik rumahnya.

Sementara itu, Painah Jawadi, 70, pula berkata, ketika kejadian, hanya dia dan suaminya, Mahat Kadri, 70, berada di rumah kerana anak dan menantu mereka bekerja.

Katanya, kejadian berkanaan hanya disedari apabila mendapati baju dipakainya ketika itu dibasahi hujan sebelum terdengar bunyi bising di atas bumbung belakang rumahnya.

Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, semua mangsa ribut diminta membuat laporan polis dan menyerahkan salinan laporan dan gambar rumah kepada JKM bagi membolehkan mereka menerima bantuan.