Kejadian di Zoo Hebin Park di bandar Pingdingshan di wilayah Henan itu, berlaku ketika kanak-kanak berusia sembilan tahun itu yang datang bersama datuknya bertindak memanjat pagar keselamatan yang memisahkan kandang haiwan itu dengan pengunjung, semasa datuknya pergi membeli gula-gula, lapor Mail Online.
Ketika dia mahu menepuk badan beruang tersebut yang keluar melebihi sangkarnya, haiwan itu secara tiba-tiba membaham lengan kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu meraung kesakitan selama 10 minit sebelum tangannya putus dan jatuh ke lantai.
Orang ramai yang melihat kejadian itu memukul haiwan tersebut, namun usaha mereka sia-sia, malah kakitangan zoo tidak mampu berbuat apa-apa ketika haiwan itu terus menyerang kanak-kanak lelaki itu.
Malah, mereka mengambil masa selama 20 minit untuk mengambil semula lengan kanak-kanak itu di dalam kandang beruang itu, sebelum pasukan perubatan tiba bagi menghentikan pendarahan yang dialami kanak-kanak itu.
Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak itu mengecam pihak zoo kerana gagal menempatkan kakitangan zoo untuk memantau beruang tersebut.
“Mereka sepatutnya menjadikan tempat ini (zoo) lebih selamat dan mereka perlu sentiasa meletakkan kakitangan mereka bagi menyelia haiwan-haiwan di zoo tersebut,’’ kata ibu kanak-kanak itu, Ku.
Gambar serangan beruang itu mendapat perhatian pengguna Internet yang berkongsi detik-detik cemas yang dialami kanak-kanak itu secara atas talian.