Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Azab dalam gelap


Kulim: Seorang wanita menempuh detik mengerikan apabila kaki kirinya tertusuk besi sepanjang satu meter akibat cuba mengelak satu objek ketika menunggang motosikal di Bukit Kukus, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Nurul Syazlinda Mat Yusub, 19, dari Kampung Permatang Pasir, Bandar Baharu, di sini, dalam perjalanan berjumpa suaminya, Muhamad Rahimi Sobari, 25, yang ketika itu berada di Padang Serai, dekat sini. 
Menurutnya, ketika menunggang motosikal, dia ternampak penunggang motosikal di hadapannya cuba mengelak sesuatu objek. 

“Saya sempat melihat objek itu terpelanting dalam keadaan gelap. Walaupun saya tidak tahu objek apa, namun saya mengangkat kedua-dua kaki untuk mengelak objek berkenaan.
Foto
NURUL Syazlinda menerima rawatan di Hospital Kulim.
Foto
KAKI Nurul Syazlinda tertusuk besi selepas cuba mengelak objek di jalan.

“Bagaimanapun, kaki kiri saya berasa seperti terkena sesuatu. Saya sangka hanya seketul batu.

“Tidak lama kemudian, kaki kiri saya pedih dan sakit, namun saya gagahkan diri meneruskan perjalanan sehingga beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim (HK), di sini, semalam. 

Nurul Syazlinda berkata, dia memberhentikan motosikal di tepi jalan di kawasan cerah dan terkejut melihat besi satu meter menembusi kaki kiri di buku lali. 

“Saya tergamam lalu terus menghubungi talian kecemasan 999 serta menghubungi suami dan saudara memaklumkan kejadian itu. 

“Akibat terlalu takut dan sakit, saya hanya duduk di atas motosikal sambil menangis sementara menunggu bantuan tiba. 

“Beberapa penguna jalan raya yang berhenti turut terkejut apabila saya menunjukkan keadaan kaki saya. 

“Selepas setengah jam, barulah ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dan memberikan rawatan sebelum membawa saya ke HK,” katanya. 

Menurutnya, ketika berada di wad kecemasan, pihak hospital menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan memotong besi berkenaan. 

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Kulim Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9 malam dan bergegas bersama ambulans serta empat anggota.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, anggotanya memberi rawatan kecemasan tanpa mengganggu kedudukan besi itu dan pihaknya bersama orang awam berhati-hati mengangkat mangsa ke dalam ambulan sebelum membawanya ke wad kecemasan HK.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment