Mat Safi (kiri), Mohd Hanif (tengah) dan Rahaini menunjukkan laporan polis dan gambar Nurul di rumah mereka di Kampung Tanjung Piai, semalam.
Mat Safi (kiri), Mohd Hanif (tengah) dan Rahaini menunjukkan laporan polis dan gambar Nurul di rumah mereka di Kampung Tanjung Piai, semalam.
PONTIAN - Sepasang suami isteri dari Kampung Tanjung Piai, Serkat di sini merayu bantuan orang ramai mengesan anak gadis mereka yang menghilangkan diri sejak lima hari lalu.

Nelayan, Mat Safi Abdul Rahim, 45, dan isterinya, Rahaini Damali, 41, bimbang keselamatan anaknya, Nurulhazwani, 15, kerana dia mengalami gangguan mental.

Menurutnya, dia rindukan anak kedua daripada lima beradik itu yang telah menghilangkan diri sejak mereka sekeluarga ke sebuah pasaraya di bandar Pontian jam 7 petang, Selasa lalu.

“Nurul bersungguh-sungguh hendak ke pasaraya untuk membeli pencuci muka dan syampu pada sebelah pagi sebelum kejadian.

“Kami sekeluarga ke pasaraya seperti dimahukan Nurul pada sebelah petang, saya sempat memberikan wang sebanyak RM20 kepadanya.

“Dia ditemani abangnya, Mohd Hanif, 17, namun tidak lama selepas mereka berdua mencari barang di pasaraya, saya dimaklumkan Nurul hilang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, mereka sekeluarga mencari di sekitar pasaraya dan memaklumkan kepada pihak pengurusan pasaraya yang turut sama mencari Nurul, namun tidak ditemui.

“Setiap masa saya teringatkan Nurul kerana dia paling istimewa dibandingkan anak-anak yang lain.

“Perasaan rindu sukar digambarkan lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidiladha,” katanya.

Sementara itu Rahaini berkata, anaknya pernah menghilangkan diri dua bulan lalu, bagaimanapun pulang ke rumah dengan selamat.

“Sebelum ini hilangkan diri hanya di sekitar kawasan rumah sahaja, suami bersama penduduk kampung akan mencarinya di sekitar kampung.

“Alhamdulillah, dia dapat ditemui semula dalam keadaan selamat,” katanya.

Sesiapa yang menemui dan mempunyai maklumat tentang Nurulhazwani boleh menghubungi Mat Safi di talian 013-7909789.