Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Anak bunuh lelaki Nepal


KULIM 13 Okt. - Hanya kerana mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang anak bertindak menikam kenalan ibunya itu sehingga mati dalam pertengkaran di rumah mereka di Taman Bersatu, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4 pagi di rumah teres itu, mangsa, Kamal Singh, 27, yang merupakan warga Nepal mati akibat kecederaan parah.
Difahamkan, sebelum itu, mangsa dikatakan memasuki rumah terbabit lewat malam untuk mencari wanita berusia 40-an yang juga warga Nepal sebelum disedari suspek.
Suspek yang berusia 18 tahun itu berang dan kemudian memanggil beberapa rakannya untuk 'mengusir' mangsa keluar dari rumah.
Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan pada masa sama suspek bersama rakannya mengambil senjata tajam dipercayai pisau di dapur lalu menikam mangsa di bahagian badan sehingga mati.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan rakan sekerja kepada ibu suspek di sebuah kilang plastik di sini.
"Mangsa dipercayai mati akibat ditikam dengan senjata tajam pada bahagian dada kiri. Bagaimanapun, polis tidak menemuikan senjata yang digunakan," katanya.
Beliau berkata, suspek bersama rakannya kemudian melarikan diri dan polis kini sedang melancarkan gerakan mencari.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222 bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141014/je_02/Anak-bunuh-lelaki-Nepal#ixzz3G4X6MLbE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment