Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis ketamin, beberapa peralatan memproses dan wang yang dirampas hasil serbuan di sebuah rumah dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 23 Okt. – Siapa menyangka sebuah rumah di Taman Kampung Tengah, Jeram, Muar, dekat sini bukan sahaja menjadi tempat berteduh sebuah keluarga, malah ia dipercayai dijadikan lokasi untuk aktiviti memproses dan pengedaran dadah.
Aktiviti tidak bermoral yang dijalankan keluarga berkenaan akhirnya terbongkar apabila diserbu polis pada pukul 2.30 petang, Ahad lalu.
Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya menahan tiga wanita dan seorang lelaki berusia 16 tahun hingga 74 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dan merampas 14.3 kilogram dadah dipercayai jenis ketamin bernilai RM1.7 juta.
“Turut dirampas ialah bahan kimia, pelbagai jenis peralatan untuk memproses dadah dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM69,000.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan. Kita juga sedang menyiasat sama ada rumah berkenaan dijadikan makmal untuk memproses dadah atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment