Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dialami selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni, Bukit Payong, pagi semalam.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dialami selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni, Bukit Payong, pagi semalam.
MARANG - Malang tidak berbau. Demikian nasib seorang lelaki yang maut dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi, di Kilometer 16 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang dekat Batu 9, Bukit Payong.

Mangsa, Mohd Sharul Hafiz Awang, 26, yang beralamat dari Felda Bukit Bading, Ajil, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan serius akibat merempuh lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang, Hulu Terengganu, dipercayai untuk pulang ke rumahnya.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius termasuk di bahagian kepala.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan.
Menurutnya, kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.