PARIT BUNTAR - Empat lelaki bertindak menyamar sebagai pegawai kesihatan daerah (PKD) dan memperdayakan seorang warga asing dan rakannya sebelum menyamun wang tunai serta dua telefon pintar milik mangsa di Taman Parit Buntar, di sini, Isnin lalu.

Mangsa, Muhammad Abdul Sattar, 31, berkata, tiga lelaki berpakaian kemas dan bertali leher berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun memaklumkan mereka dari pejabat kesihatan daerah yang ditugaskan melakukan semburan kabus di rumahnya.

"Mereka mendakwa ada aduan orang ramai yang mengesyaki rumah kami menjadi sarang pembiakan nyamuk dan perlu semburan.

"Jadi, saya benarkan mereka masuk. Malah, mereka turut tunjukkan notis perlaksanaan semburan kabus yang dikeluarkan PKD," katanya.

Menurutnya, mereka kemudiaan diarah duduk oleh suspek di hadapan tandas dekat dapur, sementara dua suspek masuk ke bilik dengan alasan melakukan semburan kabus.

"Apabila saya mahu lihat semburan kabus dilakukan, seorang lagi suspek menghalang.

"Hampir 10 minit, dua lelaki tadi keluar bilik sebelum ketiga-tiga mereka meninggal rumah tergesa-gesa menaiki kereta yang dipandu seorang lagi suspek," katanya.

Berikutan kejadian itu, dia dan rakan serumahnya mendapati dua telefon pintar jenama Samsung dan RM500 hilang.

Laporan mengenai kejadian dibuat di Balai Polis Parit Buntar.

Menurut Muhammad, itu kejadian pertama dialaminya sepanjang tujuh tahun menetap di negara ini.

"Kami kesal kerana ada individu yang sanggup mengambil kesempatan atas kebimbangan orang lain dengan melakukan penyamaran seperti itu.
"Kami harap kumpulan penjenayah ini dapat diberkas segera dan orang ramai diminta berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, siasatan awal mendapati empat suspek terbabit orang tempatan yang menyamar pegawai kesihatan untuk memperdayakan mangsa.

Bagaimanapun, menurutnya, empat suspek itu tiada sebarang kaitan dengan kes individu menyamar pegawai kebajikan masyarakat sebelum ini.
"Setakat ini, hanya satu laporan diterima membabitkan kes penyamaran pegawai kesihatan dan kita akan pantau kumpulan ini bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terpedaya.

"Kita juga nasihatkan orang ramai meminta kad kuasa daripada individu yang mendakwa pegawai kesihatan sebelum membenarkan masuk rumah dan segera buat laporan polis jika identiti mereka mencurigakan," katanya.