Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan masing-masing terhadap pengurus-pengurus, Ngu Kok Tung, 37; Tang Chung Yieng, 28, dan kontraktor, Ting Chuong Mew, 72.
Seorang lagi kontraktor, Pau Yu Tek, 54, didenda RM50,000 atau penjara lima bulan.
Hukuman tersebut dijatuhkan setelah keempat-empat tertuduh terbabit mengaku bersalah atas tuduhan masing-masing.
Kok Tung yang merupakan pengurus syarikat Ramas Megamas Sdn. Bhd. mengaku memberi rasuah RM300 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Sendry Ugi dari Pusat Operasi Perisikan Zon Sarawak di lobi sebuah hotel di Lawas pada pukul 10.40 pagi, 1 September lalu.
Bayaran tersebut sebagai doro­ngan supaya tidak dikenakan tindakan terhadap bot tunda ‘Riki 15’ dan ‘barge Goald Coast Jaya 2’ yang didakwa terbabit dengan kesalahan memindahkan hasil balak tanpa dokumen pelabuhan yang sah.
Chung Yieng selaku pengurus syarikat Rise Sdn. Bhd. pula didakwa memberi wang suapan RM1,000 kepada Sendry pada pukul 3.15 petang, 1 September lalu di Jalan Lorong Punang 2, Lawas.
Wang berkenaan kononnya sebagai bayaran supaya pegawai ber­kenaan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang menggaji pekerja tanpa permit sah.
Chuong Mew pula mengaku bersalah memberi sogokan RM1,000 kepada Pegawai Risik Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Supritendan (ASP) Pabilah Abdullah pada pukul 6.20 petang, 9 September lalu di Lawas.
Wang suapan itu sebagai doro­ngan supaya tidak dikenakan tindakan terhadap syarikat Log Pond Hariyama Sdn. Bhd. yang disyaki terlibat dengan aktiviti pembalakan tanpa permit sah.
Yu Tek, 54, pula mengaku memberi rasuah RM10,000 kepada Pabilah pada pukul 3.30 petang, 10 September lalu di hadapan sebuah bank di Lawas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat pembalakan miliknya yang melakukan kerja-kerja pembalakan tanpa permit sah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Keempat-empat tertuduh membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari SPRM, Kathrine Nais.
Chuong Mew dan Kok Tung diwakili peguam, Micheal Chong manakala Kong Swee Seng mewaki­li Yu Tek sementara Chung Yieng tidak diwakili peguam bela.
Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembalakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis, bulan lalu.
Ling Sin Ching, 50, didakwa memberi RM2,000 kepada ASP Mohd. Mazlan Mohd. Ariff di sebuah restoran di sini pada 4 September lalu bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti pembalakan tanpa kebenaran.
Nixon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 dan 26 November ini.