LANGKAP - Kira-kira 35 rumah di Kampung Degong, di sini, didinaiki air setinggi 0.5 meter selepas ban Sungai Batang Padang pecah, malam kelmarin.

Mangsa, Shahidah Yusof, 48, berkata, air mula naik kira-kira jam 9 malam kelmarin menyebabkan dia dan suaminya segera menyelamatkan barangan berharga.

Menurutnya, paras air naik mendadak memasuki  rumahnya menyebabkan beberapa peralatan elektrik rosak.

“Ada beberapa barang tidak sempat diselamatkan kerana air naik mendadak sehingga paras pinggang kira-kira jam 2.30 pagi semalam (kelmarin),” katanya selepas menerima bantuan bencana yang disampaikan oleh Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, di Dewan Orang Ramai Degong, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Nor Aswana Ibrahim, 28, berkata, walaupun rumahnya dimasuki air namun  tidak serius seperti dialami jiran-jiran yang lain.

Jelasnya, dia menyedari air mula naik kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas pulang dari Pekan Langkap dan bersiap sedia memindahkan barang-barang penting ke tempat yang lebih tinggi.

“Walaupun rumah tidak terjejas sangat, namun saya dan suami tetap berjaga-jaga,” katanya.


Sedia hadapi banjir

Ketua Kampung Degong, Abdul Aziz Mohamad memaklumkan, air mula melimpah ke kawasan rumah penduduk selepas ban di Sungai Batang Padang pecah menyebabkan 35 rumah penduduk dinaiki air setinggi setengah meter.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir setakat ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan paras air akan naik jika dilihat pada cuaca hari ini (semalam).

“Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Degong bersiap sedia menghadapi banjir jika berlaku di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, cuaca hujan beberapa hari lalu menyebabkan paras air Sungai Batang Padang meningkat.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila ban di Sungai Batang Padang pecah menyebabkan rumah penduduk di kawasan itu dimasuki air.

"Setakat ini, hanya Kampung Degong dinaiki air namun persediaan untuk hadapi banjir di peringkat daerah di tahap berjaga-jaga.

“Bantuan dari kerajaan negeri diberikan bagi meringankan beban ditanggung mangsa,” katanya.