Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

30 peratus hutan diterokai secara haram


OLEH MASZUREEN HADZMAN (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY)  |  22 Oktober 2014 3:30 AM

Hampir separuh daripada hutan simpan di Semenanjung negara ini dikesan telah diterokai secara haram oleh syarikat pembalakan.
Perkara itu didedahkan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berdasarkan pemantauan mereka sejak beberapa tahun lalu.
Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa, pihaknya mendapati sebanyak 20 peratus daripada 50 peratus hutan yang digazet itu telah ditebang secara terang-terangan.
“Kegiatan ini dikesan berlaku di Pahang dan Kelantan diikuti negeri-negeri lain.
“Malah, perkara itu dilakukan berterusan dan dipercayai ‘dilindungi’ pihak-pihak tertentu,” dakwanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kegiatan pembalakan haram di seluruh negara semakin serius angkara perbuatan rasuah.
Kegiatan yang dinaungi sindiket serta kumpulan mafia bersenjata api telah mengakibatkan negara kerugian ratusan juta ringgit dengan Sarawak sahaja telah mencatatkan kerugian RM100 juta pada tahun lalu.
Shariffa Sabrina seterusnya mendakwa, aktiviti tersebut berlaku apabila syarikat pembalakan yang memperoleh lesen secara sah tidak mematuhi syarat pembalakan yang ditetapkan.
“Misalnya, syarikat diberi kelulusan untuk menebang balak dengan keluasan sebanyak satu hektar tetapi mereka menebang melebihi had yang ditetapkan,” dakwanya.
Dakwa Shariffa Sabrina lagi, pihaknya mempunyai bukti-bukti seperti visual mengenai kegiatan tersebut hasil pemantauan di lokasi.
“Lebih malang, perkara ini dijalankan tanpa pemantauan daripada pihak berkuasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku,” dakwanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/30-peratus-hutan-diterokai-secara-haram-1.15464#sthash.Ne7mAngE.dpuf

No comments:

Post a Comment