KUANTAN - 25 daripada 47 individu yang ditahan sempena operasi dijalankan pasukan Task Force Op Lejang  sepanjang September 2014  adalah membabitkan pesalah juvana atau remaja di bawah umur.

Operasi berkenaan dijalankan oleh pegawai dan anggota Op Lejang dari Jabatan Siasatan Jenayah bersama Cawangan Pencegahan Jenayah termasuk dari Balai Polis Kuantan, Balai Polis Jaya Gading, Balai Polis Gebeng dan Balai Polis Gambang  yang dibahagikan kepada dua pasukan serta memfokuskan kes kecurian motosikal atau kenderaan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Abdul Aziz Salleh berkata, pasukan khas berkenaan ditubuhkan bagi membanteras dan mengurangkan kes kecurian motosikal yang sering dilaporkan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, operasi berkenaan menunjukkan kejayaan dengan pengurangan kadar jenayah curi motosikal sebanyak 27 kes iaitu hanya 85 kes berbanding 112 kes sepanjang bulan Ogos 2014.

“Lebih 50 peratus yang ditahan adalah di bawah umur iaitu di bawah usia 18 tahun dan paling muda baru sahaja berumur 14 tahun.

“Kebanyakan mereka juga masih bersekolah , manakala selebihnya berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Mereka lebih kepada kes kecurian individu dan bukan melakukan aktiviti haram itu secara berpasukan atau mempunyai kumpulan.

“Menerusi operasi berkenaan sebanyak 21 motosikal dan sebuah kereta jenis Hyundai berjaya ditemui dan dirampas serta termasuk penemuan rangka yang dibuang ke dalam lombong di Jaya Gading.

“Berdasarkan operasi, sebahagian besar motosikal yang dirampas adalah di kawasan Felda dan Ladang termasuk Bukit Goh, Bukit sagu dan Lepar.

“Ada yang dicuri untuk kegunaan sendiri, dijual dan diubahsuai serta ia melibatkan kes kehilangan motosikal sepanjang 2014,” katanya pada sidang media di IPD Kuantan, di sini, semalam.

Beliau berkata, kesemua yang ditangkap di tahan reman maksima selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan individu ditahan juga adalah positif dadah.

“Daripada 47 yang ditahan, tujuh daripada mereka melibatkan tujuh kes kecurian motosikal telah dituduh di mahkamah , manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 379 (A) kes kecurian motosikal yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Abdul Aziz turut memberi amaran kepada ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing memandangkan sebahagian kes berlaku melibatkan pesalah juvana.

“Ibu bapa perlu tahu pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan kegiatan haram.

“Orang ramai juga dinasihatkan menambah sistem keselamatan pada kenderaan masing-masing dan mengelak sikap cuai atau mendedahkan kenderaan kepada risiko kecurian,” katanya.