Search This Blog

Thursday, October 2, 2014

2 wanita rompak bersenjata



Nurul Suhada Jusoh dan Sumiyyah Razali berjalan keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam, selepas didakwa melakukan rompak bersenjatakan pedang dan pistol di sebuah rumah kedai di Pengkalan Chepa Julai lalu. - utusan/Wahidin Salim
KOTA BHARU 1 Okt. - Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pedang dan pistol sambil memakai telekung di sebuah rumah kedai di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Julai lalu.
Nurul Suhada Jusoh, 26, dan Sumiyyah Razali, 22, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.
Nurul Suhada bekerja sebagai tukang masak manakala Sumiyyah merupakan jurujual di sebuah pusat beli-belah.
Mereka didakwa merompak dua utas gelang emas, seunit komputer riba, beberapa helai jubah, sebuah beg jenama Coach warna merah jambu, dua beg tangan, buku cek dan cermin mata Bonia milik Nor Asuwah Ibrahim, 47, yang keseluruhannya bernilai RM20,000.
Kedua-dua wanita dari Kuantan, Pahang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan seorang lelaki yang masih bebas pada pukul 10.05 malam, 21 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas mereka dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes.
Pada 21 Julai lalu, akhbar melaporkan satu kes rompakan di Pengkalan Chepa yang dilakukan oleh seorang lelaki dan dua perompak wanita bertelekung yang berpura-pura baru pulang dari masjid.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141002/je_08/2-wanita-rompak-bersenjata#ixzz3EvxVHWKo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment