Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, dua kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga lima tahun yang dipercayai adik-beradik maut manakala tujuh lagi termasuk ibu kanak-kanak berkenaan yang berada dalam kereta jenis Proton Wira itu cedera parah.
Dua kanak-kanak itu yang belum dikenal pasti identitinya berikutan dokumen pengenalan diri mereka belum ditemui meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent di sini.
Bagaimanapun, pemandu jip berkenaan tidak mengalami kecederaan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika jip yang dipandu lelaki tersebut dalam perjalanan dari Kinabatangan menuju ke Sandakan.
“Apabila sampai di Batu 26, Jalan Labuk dekat sini, lelaki itu cuba memotong sebuah kenderaan di depannya lalu bertembung dengan sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Batu 32.
“Seramai sembilan orang iaitu pemandu kereta dan penumpang dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan. Semasa dalam rawatan, dua orang penumpang iaitu dua kanak-kanak berusia lapan tahun itu disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, butir-butir mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta, Ivan Jul, 27, dan enam lagi penumpang iaitu seorang remaja lelaki dikenali sebagai Kadimir, 15; wanita berusia 40 tahun dikenali sebagai Bimah dan seorang lelaki dikenali sebagai Adimil, 29.
Penumpang lain ialah kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikenali sebagai Azlan; serta seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan perempuan berusia 30 tahun yang belum diketahui identiti mereka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.