Search This Blog

Saturday, October 18, 2014

16 maut ketika tonton konsert K-pop

SABTU, 18 OKTOBER 2014 @ 12:52 PM

 
SEOUL: Kira-kira 16 orang yang sedang menonton konsert pop di Korea Selatan maut selepas terjatuh 20 meter ke bawah apabila jeriji pengudaraan di mana mereka sedang berdiri, runtuh semalam.

Gambar di tempat kejadian di Seongnam, di selatan Seoul, menunjukkan terdapat struktur konkrit di bawah jeriji yang runtuh itu.

Jurucakap bandaraya Seongnam Kim Nam-jun mengumumkan kematian itu menerusi televisyen dan berkata 11 lain cedera parah dalam kejadian berkenaan.

Seorang lelaki yang terbabit dalam menganjurkan konsert berkenaan dijumpai mati awal hari ini dalam satu kejadian yang dianggap sebagai bunuh diri.



Pegawai bomba berkata, mangsa sedang berdiri di atas jeriji itu untuk menonton persembahan luar oleh kumpulan '4Minute' yang popular di seluruh Asia.

Kira-kira 700 orang berkumpul untuk menonton konsert itu, iaitu sebahagian daripada pesta tempatan.

Pegawai bomba berkata, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera itu adalah orang ramai yang lalu lalang di situ yang berhenti untuk menonton konsert berkenaan selepas balik dari kerja.

Sebahagian besar daripada mangsa maut adalah lelaki berusia 30-an dan 40-an, manakala lima adalah wanita berumur 20-an dan 30-an.

Kim berkata, jeriji itu dipercayai runtuh kerana bebanan terlalu berat.

Kim berkata Perdana Menteri Chung Hong-Won melawat pusat kecemasan di Seongnam dan menggesa pegawai supaya memberi tumpuan kepada keluarga mangsa dan memastikan mereka yang cedera mendapat rawatan sempurna. - AFP


Anggota penyelamat melihat pelantar pengudaraan di mana 16 orang maut selepas terjatuh ke tempat letak kereta bawah tanah di Seongnam, Seoul semalam. - Foto AP

No comments:

Post a Comment