Search This Blog

Friday, October 3, 2014

149 kematian denggi di seluruh negara sepanjang 9 bulan tahun ini

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (kiri) melihat kemudahan ketika membuat lawatan di pusat rawatan ibu dan bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. - Foto Tg Syamim Tg Ismail
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 149 kes kematian akibat demam denggi dicatat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini di seluruh negara berbanding hanya 48 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ia adalah peningkatan yang sangat ketara di mana terdapat sebanyak 77,527 kes demam denggi berbanding hanya 23,099 kes pada tempoh sama untuk tahun lalu.
"Malah, kementerian menjangka perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini akan memberi kesan terhadap peningkatan kes denggi terutama bagi tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
"Tiada cara lain untuk mencegahnya selain meningkatkan tahap kebersihan di seluruh negara, terutama di kawasan wabak ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat rawatan ibu dan bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah.
Ditanya mengenai keupayaan jus betik sebagai penawar denggi yang semakin mendapat perhatian masyarakat ketika ini, Dr Subramaniam berkata hasil kajian mendapati jus betik hanya mampu mengurangkan kesan negatif akibat demam itu sahaja.
"Setakat ini, tiada bukti saintifik yang menunjukkan jus betik mampu mematikan jumlah virus di dalam badan pesakit, cuma ia mampu meningkatkan kadar platelet di dalam darah.
"Apabila seseorang pesakit terkena demam denggi, kadar platelet darahnya akan menurun dan saya mahu kajian lanjut dijalankan terhadap jus betik ini kerana ia mampu membantu mengurangkan kesakitan," katanya.
Beliau berkata dos pengambilan jus betik yang bersesuaian perlu ditentukan untuk seseorang pesakit itu bagi memastikan ia mampu menjadi penawar alternatif yang berasaskan herba. - BERNAMA
BH

No comments:

Post a Comment