JERTIH - Seramai 10 penagih air ketum ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Kubang dekat Jabi, di sini, kelmarin.

Dalam operasi yang bermula jam 5 petang hingga 8 malam itu berjaya memberkas suspek berusia 20 hingga 40 tahun termasuk penjual air ketum.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, operasi itu membabitkan sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jertih diketuai ketua balainya, Inspektor Zuraidi Semail.

Menurutnya, polis yang menyerbu rumah tersebut telah menahan suspek yang juga pemilik rumah berusia 40 tahun dan merampas 50 bungkus air dipercayai air ketum serta enam kilogram daun ketum.

“Polis kemudiannya bertindak menunggu di kawasan rumah suspek tersebut dan memberkas suspek lain yang datang ke rumah itu untuk mendapatkan bekalan air ketum seorang demi seorang,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jertih untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

“Hasil saringan air kencing mendapati empat daripada 10 suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Khaled berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, polis  Besut akan memperhebatkan lagi operasi memburu dan memberkas pengedar dan penagih dadah di daerah ini termasuk daun ketum.