Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Wanita warga emas ditemui mati terikat


10 September 2014


DUNGUN - Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat di dalam ruang tamu rumahnya di Kampung Sura Hujung, di sini hari ini.

Mangsa Mariam Kassim, 86, yang tinggal berseorangan ditemui anggota keluarganya dalam keadaan tertiarap di atas kerusi dalam rumahnya.

Kejadian itu disedari menantunya Zakiah Zainal, 59, kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas berasa hairan kedai runcit milik emak mertuanya masih tidak beroperasi seperti biasa.

Bercakap kepada pemberita, Zakiah berkata kira-kira jam 7 pagi selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah, beliau melihat kedai ibu mertuanya itu masih tidak dibuka.

Katanya beliau cuba mengintai dari celah dinding namun tidak melihat kelibat mangsa lantas menyangkakan ibu mertuanya itu berada di dapur sebelum keluar melakukan urusan di Bandar Dungun.

"Namun selepas pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari tadi, saya lihat kedai masih belum dibuka dan sekali lagi saya ke rumah mangsa sebelum melihat pintu dapur rumahnya terbuka.

"Saya terus masuk ke rumah mangsa dan melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di atas kerusi ruang tamu dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Panik melihat keadaan itu, beliau cuba memanggil ibu mertuanya namun tidak berbalas sebelum terus memanggil anak lelakinya yang berusia 25 tahun untuk membantu mangsa.

Katanya ketika itu, rumah ibu mertua itu turut berselerak seperti kesan digeledah sebelum bergegas membuat satu laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan enggan memberi komen sama ada mangsa mati dibunuh atau sebaliknya kerana kes itu sedang disiasat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. - Bernama

No comments:

Post a Comment