Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Wanita Vietnam menangis dihukum penjara



Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang wanita warga Vietnam menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas enam kesalahan memiliki dadah, menggunakan dadah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Nguyen Thi Mui, 24, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibaca secara berasingan oleh jurubahasa Vietnam di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Daripada semua pertuduhan itu, empat daripadanya dibaca bersama dengan seorang lagi tertuduh iaitu lelaki tempatan, Lee Hong Chin, 33, yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan memiliki dadah.

Berdasarkan empat pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, mereka bersama-sama memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (mdma) seberat 0.07 gram, methamphetamine (2.18 gram), nimetazepam (0.06 gram) dan ketamin (0.18 gram).


Kesalahan itu dilakukan pada 5 Mei lalu kira-kira jam 7.30 malam di sebuah rumah di Taman Sri Kamban, di sini.


Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Thi Mui turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan iaitu tinggal lebih masa di negara ini tanpa memiliki pas sah dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut seksyen 15 (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia turut didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Mahkamah menetapkan pertuduhan pertama penjara 10 bulan, kedua (lapan), ketiga dan keempat (sembilan), kelima (tujuh) dan keenam (lima), namun memerintahkan semua hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh tangkapan.

Thi Mui dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara paling minimum kerana sudah insaf dan mahu pulang ke negara asal.

Mahkamah juga menetapkan 19 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk Hong Chin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

No comments:

Post a Comment