Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Wanita meninggal dunia semasa bersalin


KOTA KINABALU 16 Sept. - Tinggal bersendirian dan meninggal dunia ketika melahirkan bayi perempuan.
Demikian nasib yang menimpa seorang wanita di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Nenas dekat sini ketika ditemui jiran yang juga salah seorang ahli keluarganya selepas terdengar jeritan mangsa kira-kira pukul 10 pagi ini.
Ibu malang yang dikenali sebagai Aminah Ayuan itu dipercayai mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Walau bagaimanapun, bayi perempuannya dilaporkan selamat dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, wanita terbabit tinggal bersendirian ekoran suaminya keluar bekerja sebagai buruh binaan.
"Salah seorang ahli keluarganya telah pergi ke rumah wanita itu sebelum mendapati mangsa terbaring dalam keadaan tidak bermaya di sebelah bayi perempuannya.
"Melihat keadaan itu, ahli keluarganya meminta pertolongan jiran lain untuk menghubungi ambulans," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Chandra, wanita tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus ambulans tiba kira-kira pukul 10.44 pagi.
Tambahnya, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut dan mayat wanita itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_05/Wanita-meninggal-dunia-semasa-bersalin#ixzz3DWSMMHc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment