Search This Blog

Sunday, September 21, 2014

Tujuh raifal dirampas


Ahmad Ibrahim (dua dari kiri) melihat senjata api raifal jenis Bennelli Agro buatan Itali dan pelbagai jenis peluru yang dirampas dalam kapal mewah di Langkawi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar, semalam. - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN
ALOR SETAR 20 Sept. - Kegiatan seorang lelaki warga Afrika Selatan yang menjadikan kapal mewah miliknya sebagai transit penyimpanan senjata api terbongkar dalam satu serbuan oleh pihak polis di jeti Kuah, Langkawi, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, polis menemui tujuh pucuk raifal jenis Bennelli Agro dipercayai buatan Itali dan pelbagai jenis peluru di dalam kapal mewah milik lelaki berusia 43 tahun itu.
"Polis menahan lelaki tersebut kerana menyimpan senjata api dalam keadaan yang mencurigakan dan turut ditahan ialah seorang wanita warganegara Thailand berusia 30-an yang dipercayai kekasihnya.
"Polis masih menyiasat kejadian ini dan mungkin senjata api tersebut dimiliki oleh pemilik kapal-kapal mewah lain dan lelaki tersebut menjadikan kapalnya sebagai tempat menyimpan senjata tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut Ahmad, kedua-dua suspek tersebut ditahan reman sehingga 24 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960.
Sementara itu, dalam kes berasingan Ahmad memberitahu, pihaknya juga telah menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah kelmarin.
Ujar beliau, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira pukul 8.45 malam di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani di sini.
"Hasil pemeriksaan pihak polis menjumpai 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 9.8 kilogram, 15 paket plastik berisi heroin seberat 4.6 gram dan dua paket berisi syabu seberat 560 gram di dalam kereta suspek.
"Kesemua dadah ini bernilai lebih RM150,000 dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dengan jenayah serta dadah," jelasnya.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140921/je_01/Tujuh-raifal-dirampas#ixzz3DtzBJmZg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment