RAWANG - Sebuah treler dari arah Rawang menuju Kuala Lumpur terbabas sebelum masuk ke longkang di Kilometer 443 berhampiran tol Rawang, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pemandu gagal mengawal kenderaan akibat jalan licin selepas hujan.

Saksi mahu dikenali sebagai Foo berkata, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan keluar tanpa bantuan melalui tingkap.

“Bahagian kiri treler telah masuk ke dalam longkang dan ketika saya sampai di lokasi pemandu telah keluar dengan sendiri.

“Beberapa minit kemudian sebuah treler jenis sama tiba sebelum memindahkan muatan barangan treler terbalik itu,” katanya.

Insiden itu katanya, turut menyebabkan gangguan trafik menghala ke tol Rawang menuju ke Kuala Lumpur.

Sekitar jam 5.30 petang trafik mulai lancar selepas usaha mengeluarkan treler terbabas tersebut selesai.