Orang ramai melihat keadaan treler yang terbabas lalu merempuh pokok dalam kejadian pagi
semalam di Kampung Telaga.
Orang ramai melihat keadaan treler yang terbabas lalu merempuh pokok dalam kejadian pagi semalam di Kampung Telaga.
HULU TERENGGANU - “Biasanya saya akan sapu daun-daun kering pada waktu pagi di halaman rumah, kebetulan hari ini (semalam) ketika kejadian saya berada dalam rumah.”

“Syukurlah, tiada apa-apa berlaku, rumah juga selamat daripada dirempuh treler,” kata Jaliza Mohd  Jusoh, 38.

Menurut ibu kepada tujuh anak ini, sebelum kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam itu, dia bersama empat anaknya sedang bersarapan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman seolah-olah benda meletup.

“Dengar bunyi tersebut saya bagaikan dapat meneka ada tayar lori meletup dan bergegas keluar. Ternyata, tekaan saya tepat apabila dapati sebuah treler terbabas serta tidak menyangka ia telah merempuh dua batang pokok di halaman rumah saya.

“Syukurlah, ketika kejadian saya berada dalam rumah kerana menjadi kelaziman saya bersihkan halaman rumah dengan menyapu daun kering pada waktu pagi begini. Saya sekeluarga juga bernasib baik kerana treler tak rempuh rumah,” katanya.

Jaliza berkata, treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari arah Sungai Tong ke Kuala Berang itu terbabas sebelum merempuh pokok setelah salah satu tayar depannya meletup.

“Jika tiada pokok mungkin ia akan terbabas ke bengkel kayu perabot.

“Sepanjang lima tahun tinggal di rumah ini, kejadian ini pertama kali berlaku dan pastinya ia mengejutkan. Namun, pada saya ia sebahagian daripada keadaan biasa yang sering dihadapi mereka yang rumah terletak di tepi jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Othman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.36 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.

“Sewaktu tiba di lokasi, didapati seorang pemandu tersepit di tempat duduk. Pihak bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa, Wahab Muda, 45, berasal dari Kampung Durian Kasim,” katanya.