SHAH ALAM – Tiga maut dan seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan selepas hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang elektrik dalam kejadian 6.45 pagi tadi berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya.

Kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Dengkil ke Desa Pinggiran Putera sebelum terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tiga mayat yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Putrajaya.

Katanya, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama bagi menjalani rawatan. Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum lagi dikenal pasti.

Abdul Razak berkata,  pihak bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.