Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Tiga ditahan ketika selongkar rumah mangsa


Kuala Lumpur: Tindakan pantas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menyerbu rumah yang dipecah masuk sebaik menerima laporan sempat menahan tiga perompak dalam kejadian di Wangsa Melawati, di sini, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa yang menyedari rumahnya dipecah masuk menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Menurut sumber, pasukan polis yang tiba di rumah mangsa mendapati kunci mangga pintu pagar dipotong dan pintu dipecahkan oleh suspek yang masih lagi berada di dalam rumah.

Katanya, apabila diserbu, keadaan rumah berselerak manakala ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 40-an berada dalam bilik di tingkat atas dan dipercayai menyelongkar barangan berharga milik mangsa.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemui pelbagai barangan antaranya kad bank, jam tangan, telefon bimbit, barang kemas dan kamera.

“Pemeriksaan terhadap motosikal yang digunakan suspek mendapati sebuah daripadanya motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Nor Azman Muhamad Yusuf mengesahkan kes terbabit ketika dihubungi.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 378A kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment