SENAWANG - Seorang wanita berasa terkilan dengan tindakan sebuah bank di negara ini yang didakwa tidak beretika sehingga mengakibatkan dirinya diisytiharkan muflis tanpa sebarang notis sejak 2007.

Menurut pengadu, Siti Aminah Abdullah, 50, difahamkan dia hanya mengetahui telah muflis ketika hendak membuat pembayaran bulanan membabitkan rumah yang dibeli sejak 13 tahun lalu, pada 16 Julai 2011 di sebuah bank dekat Seremban.

“Pihak bank memberitahu, mereka tidak lagi boleh menerima pembayaran bulanan sebanyak RM500 yang dibuat seperti sebelum ini memandangkan saya sudah muflis.

“Saya terkejut mendengar penjelasan itu berikutan tidak pernah dimaklumkan mana-mana pihak, apatah lagi terima sebarang notis melibatkan perkara berkenaan,” katanya yang bergegas ke Jabatan Insolvensi di Shah Alam pada Ogos 2011 untuk mendapatkan pengesahan
ekoran rekodnya disimpan di cawangan terbabit. 

Lebih malang, Siti Aminah terpaksa berputih mata apabila kediaman jenis rumah rakyat di Kampung Jiboi, Ampangan yang dibeli dengan harga RM53,000 secara ansuran selama 15 tahun, dilelong pada 18 Jun 2013.

“Tidak dinafikan, saya pernah menghadapi kesukaran membuat pembayaran bulanan sekitar lapan tahun lalu. Namun, tunggakan selama 11 bulan itu sudah pun diselesaikan pada tahun yang sama, menggunakan wang caruman KWSP saya berjumlah RM6,000.

“Lebih menyedihkan, rumah saya dilelong dengan harga RM40,000 sahaja. Sedangkan harga pasaran pada masa itu sekitar RM120,000,” katanya yang menjelaskan bayaran ansuran bulanan pada asalnya RM333 sebelum meningkat kepada RM483 menjelang 2006.

Apa yang paling menjadi tanda tanya ibu kepada dua anak lelaki berusia 22 dan 19 tahun itu adalah, ke manakah perginya bayaran bulanan dibuat selama ini, lebih-lebih lagi selepas dirinya diisytiharkan muflis pada 2007.
“Maknanya, hampir lima tahun dan tujuh bulan saya bayar untuk perkara yang tidak sepatutnya. Lebih menghairankan, bank tetap menerima pembayaran saya sehingga Jun 2011.
“Lagipun, jika tidak silap saya, seseorang itu akan dikira muflis apabila tidak mampu menyelesaikan hutang minimum RM30,000 dan ke atas. Sedangkan menurut pihak bank sendiri, hutang saya hanya berbaki sekitar RM16,000 sebelum rumah dilelong,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, katanya, dia mengambil keputusan untuk menghentikan pembayaran ansuran bulanan mulai Julai 2011 berikutan keengganan pihak bank menerimanya, selain mendapat khidmat nasihat seorang peguam.
“Berdasarkan nasihat diterima, saya tidak perlu lagi meneruskan pembayaran bulanan kerana sudah muflis. Bagaimanapun, tiba-tiba bank menghubungi saya pada 17 Jun lalu sekitar jam 3 petang kerana mahu menuntut bayaran ansuran yang berbaki sebanyak RM25,000.

“Mereka turut mengugut dengan mengatakan saya akan ditangkap sekiranya enggan menjelaskan baki hutang tersebut. Perkara ini benar-benar membingungkan saya kerana jika rumah sudah dilelong, mengapa tidak digunakan hasil itu melangsaikan hutang yang ada,”
katanya. 
Bimbang dengan masalah dihadapi memaksa Siti Aminah membuat laporan polis seawal 18 Jun 2013, seperti disarankan SPRM cawangan Seremban, iaitu pada hari yang sama rumahnya dilelong.

“Itu adalah kali kedua saya membuat laporan polis. Kali pertama pada 4 September 2012, selepas menerima notis daripada pihak bank bagi memaklumkan rumah saya akan dilelong, dengan alasan gagal menjelaskan ansuran bulanan selama empat tahun lebih.

“Hal itu memang tidak masuk akal, memandangkan saya mempunyai rekod pembayaran yang dibuat secara terus kepada bank melalui kaunter,” katanya yang kini terpaksa menyewa di sekitar Ampangan dengan sewa bulanan RM500.

Justeru, Siti Aminah menggesa agensi-agensi berkaitan terutamanya bank supaya memberikan penjelasan sewajarnya, bagi merungkai kekeliruan yang berlaku selama ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Ridzuan Abdullah  akan cuba mengetengahkan masalah dihadapi Siti Aminah kepada pihak-pihak terlibat bagi mencari jalan penyelesaian.

“Selain memaklumkan perkara berkenaan kepada CEO bank yang melelong rumah Siti Aminah, kita akan turut mengutarakan hal itu kepada Bank Negara.

“Masalah ini perlu diberi perhatian serius, memandangkan ia merupakan satu bentuk penindasan oleh institusi kewangan terhadap masyarakat,” katanya.