SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan lebih kurang setengah jam selepas tangan kirinya tersepit di dalam sebuah mesin pembancuh simen di sebuah kawasan pembinaan di Jalan Ulu Jelebu di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu, menyebabkan mangsa Mohd Sapie Ramli, 5, mengalami patah tangan kiri dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 4.13 petang.

“Sebanyak satu jentera berserta lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Jelebu bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Kami sampai ke lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian dan sebaik sampai kanak-kanak terbabit sedang menahan kesakitan akibat tangannya tersepit,” katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa lima minit mengeluarkan tangan mangsa dan orang awam yang berada di lokasi membantu menghantar mangsa ke Hospital Jelebu sebelum di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu katanya, pihaknya difahamkan kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak berkenaan dipercayai sedang bermain di kawasan pembinaan di situ yang berhampiran dengan sebuah surau.

“Ketika kejadian, mesin pembancuh simen tersebut dalam keadaan terpasang dan ramai pekerja buruh berada di lokasi tersebut termasuk ibu mangsa.

“Secara tiba-tiba kanak-kanak itu yang berada berhampiran memasukkan tangannya ke dalam mesin tersebut dan disedari pekerja buruh di lokasi selepas mangsa menjerit kesakitan,” katanya.