Mayat mangsa ditemui terapung sebelum dinaikkan dengan bantuan bot nelayan.
Mayat mangsa ditemui terapung sebelum dinaikkan
dengan bantuan bot nelayan.
SUNGAI PETANI - Seorang wanita berusia 57 tahun ditemui mati lemas di perairan Sungai Merbok dekat Jeti Semeling di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
Mangsa yang lengkap berpakaian dipercayai terjatuh dari atas jambatan terbabit sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan terapung berdekatan jeti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata, pasukannya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.45 pagi semalam.

Menurutnya, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu objek di permukaan air yang ditemui ialah mayat seorang wanita dalam keadaan terapung.
“Kita menggunakan khidmat bantuan bot nelayan untuk menaikkan mangsa ke darat sebelum mayat diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut ditemui sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa di atas jambatan Titi Semeling.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.