KUALA KURAU - Helah sebuah bot nelayan bergelap di tengah laut untuk menyeludup tenggiling bernilai RM320,000 gagal mengaburi mata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) apabila ditahan dalam satu serbuan di muara Perairan Kuala Kurau, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Maritim Pangkalan Kuala Kurau, V Siva Kumar berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, bot Kilat 30 yang dinaiki empat anggota Maritim berjaya mengesan sebuah bot kelas A dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di lokasi 3 batu nautika dari perairan Kuala Kurau.

Menurutnya, mereka difahamkan bertindak melarikan diri sebaik dihampiri bot Kilat 30 sebelum kejadian kejar-mengejar antara dua bot itu berlaku selama 15 minit.

“Lebih kurang 3 batu nautika dari lokasi bot itu ditemui, akhirnya bot terbabit mendarat di sebuah kawasan paya bakau di perairan sama sebelum dua awak-awak bertindak melarikan di kawasan itu.
“Anggota Maritim yang bertugas segera memeriksa kandungan dalam bot dan menemui enam kotak besar berisi sisik tenggiling seberat 25 kilogram setiap kotak dan 100 bungkusan biru berisi tenggiling,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, Siva Kumar mengarahkan bot itu segera disita ke pengkalan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran bot mendapati pemiliknya berasal dari Kuala Kurau dan kini diburu bagi membantu siasatan.

“Kesemua enam kotak sisik tenggiling kering seberat 150 kilogram dan tenggiling akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Siva Kumar berkata, hasil maklumat awam, pihak mengenal pasti aktiviti penyeludupan haiwan eksotik yang berlaku di perairan Kuala Kurau sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

“Difahamkan permintaan terhadap sisik tenggiling kering dan tenggiling hidup amat tinggi atas tujuan perubatan.

“Justeru, Maritim mengharapkan penangkapan ini sebagai pembuka jalan kepada pihaknya untuk membanteras  aktiviti penyeludupan haiwan eksotik melalui laluan laut,” katanya.

Siva Kumar berkata, kes rampasan haiwan eksotik itu adalah kali pertama dilaksanakan pihaknya dan berterima kasih kepada pihak nelayan yang menyalurkan maklumat kepada pihaknya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Negeri Perak, Fakhrul Hatta Musa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.