Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Tembak ke arah polis, nelayan dihukum gantung


IPOH 29 Sept. - Seorang nelayan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah melepaskan tembakan ke arah anggota polis bagi menghalang dirinya daripada ditahan, lapan tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali turut memerintahkan Lim Eng Tiong dipenjara tujuh tahun dan sebatan enam kali selain penjara lima tahun masing-masing atas kesalahan memiliki sepucuk Revolver dan tujuh butir peluru hidup dan lima kelongsong peluru.
Eng Tiong, 49, turut dihukum penjara sepanjang hayat kerana melakukan rompakan motosikal dengan menunjukkan senjata api yang boleh mendatangkan ketakutan mati atau cedera parah terhadap mangsa.
Che Mohd. Ruzima menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Eng Tiong di akhir kes pembelaan selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan semasa membela diri.
Tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan menghalang anggota polis daripada menahannya dan melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan kepada mangsa di Kampung Baru, Kuala Sepetang, antara pukul 10 dan 10.45 malam, 12 Januari 2006.
Eng Tiong didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Senjata Api 1960, tertuduh pada waktu, tarikh dan tempat yang sama masing-masing didakwa memiliki sepucuk revolver 38 `Cult 5' Mfg Co Hartford Ct Usa dan tujuh butir peluru hidup serta lima kelongsong peluru.
Tertuduh turut didakwa merompak sebuah motosikal milik Beh Eng Hock dan semasa melakukan kesalahan tersebut, dia menunjukkan senjata api yang boleh mendatangkan ketakutan mati atau cedera terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam bela, Yunus Ali.
Dalam penghakimannya, Che Mohd. Ruzima berkata, mahkamah mendapati pembelaan yang dikemukakan tertuduh didapati hanya berbentuk penafian semata-mata.
"Mahkamah juga mendapati keterangan tertuduh adalah selari dengan saksi pendakwaan, cuma yang kurang dalam keterangannya itu adalah berkaitan pemilikan senjata api.
"Tertuduh menafikan memiliki senjata api dan dalam keterangannya hanya menyatakan membawa telefon bimbit, kad pengenalan dan wang yang didakwa sebagai gajinya daripada majikan," katanya.
Beliau mengarahkan kesemua barang kes diserahkan kepada pihak polis sehingga selesai rayuan tertuduh.
Pada 19 September 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Taiping, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman melepas dan membebaskan Eng Tiong selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan dan diterima oleh Mahkamah Rayuan, Putrajaya yang berpuas hati terdapat kes prima facie dan mengarahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk tertuduh memberi keterangan bela diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140930/ma_02/Tembak-ke-arah-polis-nelayan-dihukum-gantung#ixzz3Ek4aK7Ng
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment