Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Taktik pasang mangga di luar


Alor Setar: Helah sepasang kekasih mengunci mangga di luar pintu bilik sebuah rumah tumpangan yang mereka sewa untuk mengaburi pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat, malam kelmarin.
Selain itu, mereka dikatakan turut menyembunyikan motosikal dalam bilik berkenaan untuk mengelak daripada diketahui sesiapa memandangkan rumah tumpangan itu terletak di kawasan perumahan.
Dalam serbuan jam 11.30 malam, pasangan berusia 22 dan 24 tahun yang menetap di Pendang itu memberi alasan datang ke situ untuk berbincang soal perkahwinan ketika disoal siasat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Difahamkan, rumah tumpangan itu menjadi ‘port’ pasangan kekasih untuk bermalam di situ disebabkan pemiliknya mengubah suai setiap bilik dengan memasang pintu jeriji besi seolah-olah seperti penjara dan turut memasang mangga pintu di bahagian luar kononnya tiada penyewa.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang JAIK Syeikh Mohd Rosyidi Mahmud berkata, sepasukan anggotanya mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju.
Beliau berkata, mulanya lelaki itu memberi alasan hanya berseorangan dalam bilik itu tetapi terkantoi apabila ternampak kelibat seorang wanita yang berpakaian lengkap melarikan diri ke bilik air.
“Hasil soal siasat, lelaki berstatus suami orang yang mempunyai seorang anak itu gagal menunjukkan dokumen membuktikan dia dan janda muda adalah suami isteri atau mempunyai hubungan mahram.
“Wanita itu memberi alasan mereka sudah lama kenal tetapi cuma rapat sejak beberapa bulan lalu walaupun tahu lelaki itu sudah beristeri.
“Berikutan itu, kita menahan mereka kerana disyaki bersekedudukan sehingga menimbulkan syak kepada orang ramai,” katanya.
Mohd Rosyidi berkata, operasi sempena sambutan Hari Malaysia itu dilakukan untuk membanteras kegiatan maksiat di sekitar hotel bajet dan rumah tumpangan di sekitar bandar raya ini.
“Dalam operasi itu seramai tiga pasangan termasuk dua daripadanya pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dicekup di dua lokasi berasingan.
“Kebanyakan mereka memberi alasan datang ke hotel murah itu hanya untuk berbincang soal kahwin dan datang untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi semua alasan yang diberikan tidak masuk akal dan hanya untuk melepaskan diri.
“Lebih mengecewakan apabila seorang pelajar IPT berusia 18 tahun yang ditahan itu masih belajar di semester satu tetapi sanggup menyewa hotel bersama pasangannya disebabkan jauh dari keluarga, ” katanya.
Mohd Rosyidi berkata, semua mereka berusia 18 hingga 24 tahun yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Justeru, saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing kerana kebanyakan pasangan yang ditahan sebelum ini berkenalan melalui laman sosial Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan WeChat sebelum menyewa hotel untuk melakukan maksiat,” katanya.
Foto
PASANGAN kekasih disoal siasat oleh pegawai JAIK.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

No comments:

Post a Comment