Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Suspek hina Islam terlibat sindiket penipuan cabutan bertuah


KUALA LUMPUR 24 Sept. - Bukan sahaja menghasut serta menghina Islam di Facebook, seorang suspek yang ditahan polis berkaitan kes berkenaan didapati turut terlibat dalam sindiket penipuan tawaran cabutan bertuah.
Pembongkaran itu berlaku setelah sepasukan polis yang menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Alor di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 10 September lalu bagi menahan suspek, menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan oleh sindiket penipuan tawaran cabutan bertuah tersebut.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, dalam serbuan tersebut, polis juga memberkas tujuh lagi individu lain kerana dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Sindiket ini akan menghubungi mana-mana individu dan menyamar sebagai pekerja agensi pelancongan serta memberitahu mangsa telah memenangi hadiah sebanyak AS$150,000 dan pelbagai pakej pelancongan.
"Seterusnya sindiket itu akan meminta wang daripada mangsa dengan alasan sebagai bayaran proses penghantaran hadiah tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman di sini hari ini.
Hamza berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 31 tahun kini telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman hingga 19 September lalu.
"Laporan awal analisis Unit Forensik Komputer Jenayah Siber Multimedia menunjukkan bukti-bukti yang menunjukkan sindiket ini baharu beroperasi serta menyasarkan mangsa dari Australia dan New Zealand.
"Kertas siasatan kini sedang dikemas kini dan kesemua suspek dituduh mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Menurut Hamza, polis turut merampas tujuh unit komputer riba, 17 unit telefon bimbit, lima unit pemacu kilat serta beberapa peralatan komputer lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140925/je_04/Suspek-hina-Islam-terlibat-sindiket-penipuan-cabutan-bertuah#ixzz3EGmOuTaX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment