KUALA PILAH – Hasrat sepasang suami isteri untuk menghadiri program bual bicara yang menampilkan penceramah tersohor, Ustaz Kazim Elias tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer 1.5 Jalan Juasseh Terusan-Bahau, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Zainal Ahmad, 68, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama isterinya Rafiah Suak, 61, dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Bahau menuju ke Pekan Juasseh.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Juasseh Pekan ke Masjid Kariah Kuala Kepis, Kampung Terusan Seberang.
“Sebelum kejadian, motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu berhenti di lorong tengah sambil memberikan lampu isyarat untuk masuk ke simpang kanan jalan menghala ke Terusan Seberang.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah Bahau merempuhnya," katanya.

Menurutnya, pemandu kereta itu, Lee Kim Kuan, 50-an, dipercayai tidak perasan mangsa yang ketika itu hendak membelok ke simpang kanan.

"Ketika itu, Kim Kuan terpaksa menekan membrek secara tiba-tiba, namun gagal mengawal kenderaannya dan terbabas ke kanan lalu merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu, Zainal tercampak dan tidak sedarkan diri, manakala isterinya patah kaki. Pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Bagaimanapun, pemandu kereta tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Hazrin Sham Mohd Khuzairi, 37, berkata, ayahnya yang cedera parah di bahagian kepala terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
“Menurut doktor, ayah akan menjalani pembedahan segera pagi ini (semalam). Manakala ibu patah kaki kiri dan dirawat di HTAN Kuala Pilah. Kaki ibu juga terpaksa dibedah dalam masa terdekat,” katanya.